A World Class Unique 
Knowledge-rich Destination

Selera stimbot di Maeps

Utusan Malaysia - 24 December 2010

PERNAHKAH anda menjejakkan kaki ke Restoran Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang @ Maeps yang lokasinya di dalam kawasan Universiti Putra Malaysia (UPM)?

Tahukah anda betapa indahnya pemandangan sekeliling pada waktu siang di mana persekitaran yang menghijau menyejukkan mata memandang manakala sebelah malamnya pula disulami bunyi-bunyian unggas.

Ia bertambah mendamaikan apabila anda berpeluang menikmati hidangan stimbot bersama ahli keluarga tersayang.

Dengan hanya RM19.90 untuk orang dewasa, anda boleh menikmati seberapa banyak makanan laut seperti ketam, ikan, kupang, udang, kerang, sotong, bebola ikan, ayam, daging dan banyak lagi hidangan yang pelbagai termasuk sayur-sayuran.

Menurut Penolong Pengurus Pembangunan Perniagaan, Hjh Maznah Food Industry Sdn. Bhd., Norsyaliza Mahamad, selain menyediakan pelbagai jenis pilih untuk stimbot, pihaknya turut memberi pilihan kepada pelanggan sama ada untuk menikmati tom yam atau sup berempah.

"Apa yang menariknya, hidangan bufet stimbot yang ditawarkan di sini adalah berbaloi dan dengan hanya RM19.90, ia ditawarkan bersama minuman percuma," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah beliau, hidangan stimbot mula diperkenalkan pada Februari lalu dalam usaha mempelbagaikan lagi pilihan makanan kepada para pengunjung.

Ujar Norsyaliza lagi, setiap hari sajian yang disajikan merupakan makanan yang segar dan pihaknya turut menitikberatkan soal kualiti.

Restoran @ Maeps itu tiada masalah untuk menerima kedatangan ramai pelanggan kerana keluasannya boleh menampung sehingga 500 pelanggan pada satu-satu masa.

Untuk kemudahan pelanggan, tempat letak kereta percuma dan luas turut disediakan.

Bagi memberikan kelainan, konsep warung turut diperkenalkan di mana setiap warung yang ditampilkan menyediakan hidangan menarik seperti hidangan mi dan pelbagai pilihan ais krim dan juga ais batu campur.

2.66 juta kunjungi MAHA 2010

Utusan Malaysia - 6 December 2010

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Penganjuran Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 yang berakhir hari ini disifatkan sebagai amat berjaya oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Katanya, dengan lebih 2.66 juta orang mengunjungi pameran bertaraf antarabangsa itu, kementerian berpuas hati dengan sambutan diberikan rakyat terhadap acara yang diadakan dua tahun sekali itu.

"Ramai yang minta agar pameran ini disambung sehingga Selasa ini memandangkan ia hari cuti umum. Mereka mahu gunakan kesempatan itu untuk membawa lebih ramai saudara-mara hadir ke sini.

"Kalau ikutkan hati memang saya mahu sambung. Tetapi 40 peratus peniaga sudah tidak larat dan kata cukuplah. Penat melayan terlampau ramai orang dalam masa 10 hari sehingga terpaksa tutup gerai lewat daripada waktu ditetapkan iaitu pada pukul 10 malam," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup MAHA 2010 dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2010 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang, di sini.

Turut hadir Timbalannya, Datuk Mohd. Johari Baharom; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Mohd. Hashim Abdullah serta Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Badruddin Amiruldin.

Noh menambah, selain kehadiran pengunjung yang jauh melepasi sasaran 1.5 juta orang, penyertaan pempamer dalam MAHA 2010 juga amat membanggakan dengan 2,502 gerai dibuka berbanding sasaran 2,000 buah.

"Peningkatan juga ditunjukkan dalam transaksi jualan yang berjumlah RM23.58 juta berbanding RM9.69 juta pada 2008. Ia jauh mengatasi sasaran RM15 juta.

"Begitu juga dengan program pemadanan perniagaan, sasaran RM150 juta nilai potensi jualan berjaya dilepasi apabila mencatatkan RM152.26 juta," katanya.

Ditanya sama ada kementerian bercadang menjadikan pameran tersebut sebagai acara tahunan, Noh berkata, tiada cadangan ke arah itu tetapi mungkin ia akan diselang-seli dengan acara lain, seperti pesta ternakan atau akuakultur.

 

Usaha popularkan Maeps sebagai destinasi agropelancongan

Utusan Malaysia - 6 December 2010

KUALA LUMPUR 5 Dis. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berusaha mengekalkan laman ternak, pertanian serta pavilion negeri-negeri di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang untuk mempopularkan lokasi itu sebagai destinasi agropelancongan negara.

Menterinya, Datuk Seri Noh Omar berkata, ilham mengekalkan laman- laman yang diwujudkan sempena Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2010 itu dicetuskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berikutan sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Katanya, kementerian akan mengusulkan cadangan itu kepada Kabinet dalam masa terdekat sebelum membuat pengumuman mengenai pembukaan Maeps sebagai destinasi agropelancongan antarabangsa.

"Berikutan sambutan menggalakkan terhadap MAHA 2010, Perdana Menteri mahu kementerian fikirkan cara untuk menarik pelancong ke Maeps sekurang-kurangnya pada hujung minggu menerusi konsep agropelancongan.

"Justeru kementerian bercadang mengekalkan segala kemudahan di Maeps. Pelbagai aktiviti juga akan dirancang pada hujung minggu melibatkan jabatan-jabatan tertentu dalam kementerian secara bergilir-gilir seperti lelongan kambing atau lembu oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Penutup MAHA 2010 dan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2010 di Maeps, hari ini.

Noh menambah, bagi memanfaatkan empat dewan besar di Maeps, kementerian mahu mempromosikan tempat itu sebagai kawasan pameran terkemuka dan selesa untuk dihadiri pengunjung.

"Biarpun jauh sedikit dari ibu kota, Maeps mempunyai kelebihan kerana ada empat dewan besar dengan lebih 7,000 tempat letak kereta. MAHA 2010 membuktikan sekiranya publisiti yang betul dibuat selain tarikan pameran, tiada masalah untuk jutaan orang hadir ke sini," ujarnya.

Terdahulu, Noh turut melancarkan 'Komuniti Rakan Agro' bagi memudahkan rakyat negara ini yang berminat dalam bidang pertanian mendapatkan maklumat mengenainya hanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Sesiapa sahaja boleh mendapatkan maklumat mengenai pertanian atau kementerian dengan hanya menaip REG MYSMS (NAMA) (Nombor MyKad) MOA dan hantarkan ke 15888.

"Setakat ini, seramai 20,438 orang telah mendaftar di bawah perkhidmatan berkenaan. Sesiapa yang melanggannya boleh mendapatkan maklumat mengenai tanaman, dokumen permohonan, program kementerian serta membuat aduan," katanya.

MAHA 2010 meriah, penuh keunikan

Utusan Malaysia - 6 December 2010

Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA 2010) yang bermula 26 November dan berakhir semalam berjaya menarik lebih dua juta pengunjung sepanjang pameran itu diadakan.

Pelbagai ragam dan gelagat pengunjung dapat dilihat pada pameran MAHA 2010 yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor.

MAHA 2010 bukan sahaja menganjurkan pelbagai aktiviti dan pertandingan, malah ia juga turut menampilkan keunikannya tersendiri yang terhasil sama ada secara semula jadi atau pun melalui teknik ciptaan moden, baik dalam bidang bidang pertanian, perternakan atau teknologi.

Namun apa yang pasti, MAHA 2010 mampu dibanggakan walaupun terdapat sedikit kecacatan yang tidak dapat dielakkan berikutan terlalu ramai pengunjung yang hadir terutamanya pada hujung minggu dan hari terakhir pameran itu.

Pastinya, ekpo pertanian terbesar di Asia Tenggara ini memberi pendedahan dan ilmu yang bermakna terutama dalam bidang pertanian dan penternakan, selain membuka peluang niaga kepada orang ramai.

Scroll to top